suria

Peguam Hartanah Didakwa Pecah Amanah Lebih RM500,000

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan pecah amanah bagi wang jualan hartanah berjumlah lebih RM500,000 milik pelanggannya, dua tahun lalu.

Yuen Kwong Wai, 52, didakwa pecah amanah terhadap baki wang bayaran berjumlah RM332,100 daripada Chew Chee Chin kepada Loo Jiun Yi dan Wong Chee Keong untuk penjualan hartanah milik Loo dan Wong seperti terkandung dalam penjanjian jual beli bertarikh 20 Ogos 2015.

Tertuduh tidak menyerahkan wang itu kepada penjual sebaliknya menggunakan untuk kegunaaan sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM147,797.21 yang merupakan baki bayaran daripada Mohd Suhaimi Mohd Rafie, Sivanyavam dan Ros Aziah Othman kepada Abdul Rahman Ahmad untuk penjualan hartanah Abdul Rahman seperti dalam penjanjian jual beli bertarikh 10 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan  sama membabitkan wang berjumlah RM118,500 juga bagi penjualan hartanah di tempat yang sama pada 9 Jun 2015 sehingga 13 Oktober 2015.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di firma guamannya Tetuan Yuen  and  Co, di Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas di sini masing-masing di antara 9 April 2015 dan 14 Jan 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Pang Teck Yaw yang mewakili tertuduh memohon jumlah sama bagi untuk pertuduhan.

Hakim Zaman Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes.

Pada 17 Februari lalu, Yuen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas dua pertuduhan sama melibatkan hampir RM400,000 tiga tahun lalu.-- Bernama

Artikel Lain