suria

RIBF 2017 Penyertaan Terbaik Malaysia Di Persada Dunia

RIYADH: Penyertaan kali pertama Malaysia dalam Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 disifatkan paling berjaya bagi pelbagai  aspek termasuk menghasilkan potensi nilai urus niaga bernilai lebih RM1 juta membabitkan kerjasama penerbitan, terjemahan dan pemindahan teknologi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBN) Mohd Khair Ngadiron berkata daripada 500 judul buku yang dipamerkan di Pavilion Malaysia, lebih 300 judul buku terjual khususnya koleksi bacaan kanak-kanak selain potensi urus niaga masa depan melibatkan penerbit Malaysia dan antarabangsa.

"Berdasarkan pengalaman kami berada di pesta buku antarabangsa lebih 10 tahun, kita merasakan ini yang paling berjaya daripada pelbagai aspek seperti komitmen delegasi peserta, sambutan pengunjung terhadap penerbitan dan aktiviti di Pavilion Malaysia, potensi urus niaga dan liputan meluas media tempatan," katanya kepada pemberita di sini.

Malaysia menjadi negara Asean pertama diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat pada pesta buku selama 10 hari itu yang bermula dari 8 Mac hingga Jumaat.

Malaysia juga adalah negara ke-10 di dunia dan negara ketiga Asia selepas Jepun dan India yang menerima tawaran itu daripada Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi.

Mohd Khair berkata Malaysia akan menimbang untuk mengambil bahagian dalam RIBF 2018 berdasarkan sambutan baik yang diterima daripada penyertaan kali ini selain pasaran besar dalam industri buku Arab Saudi.

Beliau berkata Presiden Persatuan Penerbit Arab Saudi Ahmad Fahed Al Hamdan, dalam pertemuan dengan delegasi Malaysia pada Rabu lepas, turut  menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung dari 28 April hingga 7 Mei depan.

Dalam pada itu, Pengarah RIBF 2017 Sultan Al-Fakeer berkata Malaysia merupakan Negara Tetamu Kehormat yang terbaik sejak pesta buku itu dianjurkan sejak 10 tahun lalu.

Pendekatan Malaysia yang bukan hanya mempromosikan bahan penerbitan malah turut menampilkan persembahan kebudayaan serta kesenian, amat berbeza berbanding negara-negara lain, katanya.

Sultan turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran delegasi Malaysia di RIBF hingga dapat menarik kehadiran ramai pengunjung khususnya melalui persembahan kebudayaan, dan berharap Malaysia dapat menyertai lagi pesta buku itu pada masa akan datang. 

"Walaupun berlaku sedikit kekecohan pada peringkat awal namun, ia tidak menggambarkan masyarakat Arab Saudi yang secara keseluruhan yang melihat seni sebagai satu daripada cabang ilmu," katanya.

Beliau merujuk insiden seorang lelaki warga Arab yang bertindak mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai ketika persembahan ghazal dan tarian zapin oleh 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor pada 9 Mac lepas.

Persembahan zapin dan ghazal itu dibawa bagi memeriahkan Pavilion Malaysia di RIBF atas permintaan Arab Saudi.-- Bernama


RIBF, ITBN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain