suria

Kes ILI: Pelajar Diisolasi Di Rumah Semasa Cuti Sekolah

IPOH: Pelajar yang belum pulih daripada gejala penyakit seperti influenza (ILI) akan dibenarkan pulang dan diisolasi di rumah masing-masing, memandangkan hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kebanyakan pelajar dijangkiti virus itu sudah pulih dan mula pulang ke rumah masing-masing, sejak semalam.

"Mereka (pelajar) yang berada di asrama termasuk pelajar yang belum pulih dan masih diasingkan di bilik asrama akan pulang hari ini dan diisolasi di rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri akan meneruskan pemantauan di semua sekolah serta memberi pendidikan kesihatan kepada warga sekolah tentang langkah pencegahan ILI dan influenza.

Katanya, sebelum pulang bercuti, pihak sekolah diminta mengingatkan pelajar untuk mendapatkan rawatan awal di klinik berdekatan jika ada tanda dan gejala ILI.

Setakat semalam, gejala itu membabitkan pelajar di Sekolah Menengah (SM) Raja Perempuan Taayah (230 orang); SM Abdul Rahman Talib di Teluk Intan (87); Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya (3); Sekolah Tuanku Abdul Rahman (115).

Bilangan pelajar di Sekolah Izzudin Shah (25); Kolej Vokasional Slim River (13); Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Azlan Shah di Bota (13); SMA Darul Ridzuan di Tapah (26) dan Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan (8).

Daripada jumlah itu, 253 pelajar diasingkan di bilik asrama sekolah masing-masing, manakala tiga lagi pelajar yang ditahan di wad hospital, dibenarkan pulang.-- Bernama


ILI, Dr Mah Hang Soon, Teluk Intan

Artikel Lain