suria

Polis Halang Lelaki Cuba Tikam Isteri, Bayi

KOTA KINABALU: Pihak polis terpaksa menggunakan pistol renjatan elektrik terhadap seorang lelaki yang cuba menikam isteri dan bayinya dalam insiden di sebuah rumah di Tuaran, kira-kira 50 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Timbalan Supritendan Abd Fuad Abd Malik berkata, lelaki berusia 33 tahun itu menyerbu masuk rumah isterinya yang tinggal berasingan di Kampung Bakut kira-kira pukul 10 pagi Isnin.

"Berlaku pergelutan antara mereka berdua sebelum lelaki berkenaan mengambil bayi mereka berusia lapan bulan dan mengeluarkan pisau," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Lelaki berkenaan berulang kali melaungkan amaran untuk menikam bayi tersebut tetapi polis berjaya memujuk suspek menyerahkan kanak-kanak itu dengan selamat.

"Namun lelaki itu enggan melepaskan isterinya dan mengacukan pisau di bahagian leher mangsa," kata Abd Fuad.

Polis bertindak pantas melepaskan tembakan renjatan elektrik ketika suspek hampir menikam leher isterinya.

"Suspek ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," kata beliau.

Wanita dan bayi berkenaan dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tikam Isteri, Bayi, Tuaran

Artikel Sebelum

Artikel Lain