suria

Tertuduh Sujud Kaki Ibu Pohon Kemaafan

KLANG: Suasana pilu menyelubungi galeri awam di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa apabila seorang tertuduh bersujud di kaki ibunya sambil memohon kemaafan selepas dia dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana menyebabkan kematian seorang pemandu van sekolah, tahun lepas.

Bekas operator kren Mohd Fifi Md Yousoff, 31, turut menangis teresak-esak ketika memeluk erat isterinya, anggota keluarga serta rakan-rakannya yang hadir di mahkamah.

Terdahulu, Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa pada Selasa selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Mohammad Izhharuddin Nordin, 24, di Jalan Sungai Udang di sini kira-kira 6.40 petang pada 3 Feb tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Fifi sebelum ini menghadapi pertuduhan asal menyebabkan kematian Mohammad Izhharuddin mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian itu, tertuduh didatangi anak saudaranya yang berusia 11 tahun yang mengadu bahawa van telah meninggalkannya di sekolah agama dan dia terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.

Dalam perjalanan tertuduh menghantar anak saudaranya pulang ke rumah ibunya dengan menaiki motosikal, anak saudara tertuduh ternampak van berkenaan dan  menunjukkan kepadanya menyebabkan tertuduh mengejar dan memintas kenderaan itu supaya berhenti di tepi jalan.

Tertuduh kemudian pergi ke bahagian pemandu van lalu mempersoal tindakan Mohammad Izhharuddin meninggalkan anak saudaranya di sekolah agama.

Tertuduh kemudian menumbuk mangsa beberapa kali di bahagian sisi muka serta kepala sebelah kanannya sebelum kembali kepada anak saudaranya yang berada di motosikal.

Sebelum beredar, tertuduh pergi semula ke arah Mohammad Izhharuddin lalu menghulurkan tangannya ke dalam van itu.

Selepas tertuduh beredar, saksi yang berada berhampiran datang melihat keadaan Mohammad Izhharuddin dan mendapati dia dalam keadaan menggigil serta tidak boleh bercakap.

Saksi itu kemudian menghubungi polis dan hasil pemeriksaan pihak ambulans yang tiba kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Hasil bedah siasat, pakar patologi mengesahkan bahawa terdapat lebam dan bengkak di bahagian rahang kanan serta telinga kanan mangsa selain kecederaan dalaman iaitu lebam pada pangkal otot leher sebelah kanan dan terdapat pendarahan 'subarachnoid' pada keseluruhan otak.

Sehubungan itu, pakar patologi merumuskan punca kematian mangsa adalah akibat pendarahan 'subarachnoid' berikutan trauma hentakan pada bahagian lehernya.

Ketika rayuan meringankan hukuman, peguam Abdul Halem Mohamad Husin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan fakta bahawa anak guamnya merupakan pesalah pertama yang tiada niat untuk menyebabkan kematiannya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan pendakwaan pula berkata satu hukuman berat dan bersifat mencegah wajar dikenakan berikutan tertuduh telah melakukan kesalahan sangat serius yang menyebabkan kehilangan nyawa.

"Tertuduh telah bertindak kejam serta tidak berperikemanusiaan dengan menumbuk mangsa berkali-kali walaupun mangsa tidak membalasnya, hanya disebabkan marah kerana anak saudaranya tertinggal van di sekolah. Ia bukan satu alasan untuk bertindak di luar batasan," katanya.

Sebelum itu, ibu mangsa, Haliza Ahmad, 49, menerusi kenyataan impak mangsa memberitahu mahkamah bahawa kematian Mohammad Izhharuddin memberi banyak kesan kepada keluarganya dari segi emosi dan kewangan memandangkan mangsa banyak membantu dalam perniagaan keluarganya. - BERNAMA


Kemalangan, Penjara

Artikel Berikut

Artikel Lain