suria

Jadikan ASEAN Dunia Kanak-Kanak Yang Sempurna - Megawati

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bekerjasama dan sepakat membanteras jenayah kekerasan dan seksual terhadap kanak-kanak, dalam usaha menjadikan rantau ini sebagai 'dunia yang sempurna untuk kanak-kanak'.

Bekas Presiden Republik Indonesia Megawati Soekarnoputri berkata satu sistem perundangan yang adil dan khusus perlu diwujudkan dalam melindungi kanak-kanak.

"Semoga kita terus dapat jalin kerjasama serantau untuk mengakhiri segala bentuk kekerasan. Perjuangan ASEAN bukan perjuangan mudah, ini perjuangan bersama bagi memenuhi hak asasi manusia. Ini adalah upaya ASEAN untuk cipta dunia kanak-kanak yang sempurna," katanya.

Presiden kelima Indonesia itu berkata demikian ketika membentangkan perutusan khas kerjasama rantau ASEAN dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak:Hentikan!! di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Selasa.

Beliau hadir atas jemputan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata.

"Jelas kita tidak bisa sendiri-sendiri menghentikannya. Diperlukan kerjasama untuk mengatasi masalah ini dengan melahirkan sistem hukum yang adil bagi perempuan dan kanak-kanak," kata Megawati seperti dilaporkan Bernama.

Seminar dua hari bermula semalam dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dihadiri hampir 2,000 peserta termasuk isteri pemimpin politik, ahli akademik, pengusaha taman asuhan kanak-kanak dan penuntut universiti.

Megawati percaya Malaysia mempunyai komitmen yang kuat dalam menyelesaikan permasalahan tersebut secara holistik dan komprehensif.

Beliau menyatakan kepercayaan sebagai rakan serumpun, Malaysia dan Indonesia mampu berganding bahu memperjuangkan hak dan suara keadilan secara kolektif.

Berkongsi usahanya ketika menjadi presiden dari 2001 sehingga 2004, Megawati berkata pelbagai dasar telah dilaksanakan dalam membela kanak-kanak dan wanita  di Indonesia.

"Tahun 2002, saya sebagai Presiden telah menandatangani keputusan rencana aksi penghapusan bentuk-bentuk pekerjaan terburuk untuk anak, rencana aksi nasional penghapusan eksploitasi seksual komersial anak dan rencana aksi nasional penghapusan perdagangan perempuan dan anak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain