suria

Pegawai Imigresen Antara Tujuh Ditahan Terlibat Aktiviti Daesh - KPN

Salah seorang daripada tujuh suspek yang ditahan.
KUALA LUMPUR: Tujuh orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh dalam operasi khas dari Rabu lepas hingga Ahad.

Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata operasi yang dijalankan di Sabah dan Selangor oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman itu membawa kepada tangkapan tujuh individu yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.

Suspek berumur antara 18 hingga 53 tahun terdiri daripada dua warganegara Malaysia, tiga warganegara Filipina bertaraf pemastautin tetap Malaysia dan dua warganegara Filipina.

"Penangkapan pertama dilakukan pada 8 Mac di Kota Kinabalu melibatkan dua lelaki iaitu seorang waraganegara Filipina yang berusia 18 tahun yang merupakan anggota kumpulan pengganas Daesh dan seorang lagi merupakan pemastautin tetap warganegara Filipina berumur 27 tahun," kata Khalid.

Khalid menjelaskan warganegara Filipina itu merupakan anggota Daesh yang berbaiah dengan Isnilon Hapilon iaitu Amir kumpulan Daesh di selatan Filipina manakala warga Filipina berstatus pemastautin tetap itu pula bertanggungjawab mengumpul dana kepada Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraime Awang Raimee iaitu rakyat Malaysia yang telah menyertai Daesh sejak 2014 di selatan Filipina.

Menurut Khalid, tangkapan kedua dilakukan pada 9 Mac lepas melibatkan dua warganegara Filipina berstatus pemastatutin tetap - wanita berumur 53 tahun dan lelaki 40 tahun yang membantu penyusupan masuk tiga anggota Daesh Indonesia ke selatan Filipina melalui Sabah.

Sementara itu pada hari yang sama, seorang wanita yang merupakan suspek warga tempatan berumur 31 tahun ditahan kerana terlibat dalam membantu kemasukan individu yang tidak mempunyai dokumen sah termasuk anggota Daesh dari Indonesia memasuki Filipina melalui Sabah.

"Turut ditahan ialah seorang mekanik wargananegara Filipina berumur 36 tahun di Sandakan kerana merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh dan pada 12 Mac lepas, seorang lelaki warga tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bertujuan menyertai kumpulan Daesh dengan bantuan Abu Fateh yang merupakan anggota kumpulan Daesh dari Sulawesi, Indonesia," kata Khalid.

Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki bersama-sama beberapa anggota kumpulan Daesh warganegara Indonesia.

Beliau berkata ketujuh-tujuh mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) akan juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). -Bernama


Daesh, pegawai Imigresen

Artikel Lain