suria

Rampasan Berus Cat Bulu Babi Dipulangkan Selepas Peniaga Label Produk

Datuk Seri Hamzah Zainudin
KUALA LUMPUR: Berus cat daripada bulu babi yang dirampas  akan dikembalikan kepada peniaga selepas mereka melabelkan dan mengasingkan barangan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang yang Diperbuat daripada Bahagian Babi atau Anjing) 2013.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata peniaga diberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian.

"Sekiranya mereka patuhi kita pulangkan (rampasan) dan kalau gagal kita ambilnya sebagai bahan bukti untuk tindakan seterusnya," katanya ketika menjawab soalan tambahan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Rakyat Isnin.

Loy Sian ingin tahu sama ada kementerian berkenaan telah memulangkan berus cat bulu babi yang telah dirampas daripada 37 kes yang direkodkan di seluruh negara.

Hamzah berkata mempamerkan, menandakan dan melabelkan barangan yang dibuat seperti daripada babi dan anjing adalah amat penting bagi menghilangkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.


Sebelum ini, kementerian tersebut memberi tempoh sebulan bermula 9 Februari lalu kepada semua peniaga untuk melabelkan produk yang disahkan mengandungi bahan tidak halal termasuk ada unsur babi bagi memberi maklumat kepada pengguna Islam.

berus bulu babi, berus cat, KPDNKK