suria

Rakyat Malaysia Selamat, Bergerak Bebas - Reezal Merican

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan rakyat Malaysia di Korea Utara berada dalam keadaan selamat dan bebas bergerak di dalam negara itu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata mereka dapat dihubungi dan kerajaan Malaysia telah berhubung  dengan mereka.

"Mereka (rakyat Malaysia di Korea Utara) tidak berada dalam ketakutan. Jangan bimbang, tidak ada sebab untuk dikhuatirkan, apa yang penting mereka dalam keadaan amat selamat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Reezal Merican ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang dan tidak boleh meninggalkan negara tersebut di bawah larangan sementara yang dikenakan pihak Korea Utara.

Selasa lalu, Korea Utara melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara tersebut, yang membuatkan Malaysia turut mengambil tindakan sama dengan tidak membenarkan rakyat Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini.

Pertikaian diplomatik tercetus antara Malaysia dan Korea Utara susulan tidak ada persetujuan dalam beberapa perkara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Mengenai dua rakyat Malaysia yang berkhidmat di bawah Program Makanan Sedunia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dibenarkan meninggalkan Pyongyang ke Beijing pada Khamis lalu, Reezal Merican berkata mereka akan berada di Beijing buat masa ini.

"Mereka masih Beijing. Mereka sedang berkhidmat di bawah program PBB," katanya dan menambah belum terdapat rancangan bagi kepulangan mereka ke Malaysia. - BERNAMA

Reezal Merican, Korea Utara, Malaysia

Artikel Lain