suria

Dua Hingga Tiga Minggu Untuk Tuntut Mayat - Subramaniam

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi tempoh dua hingga tiga minggu kepada ahli keluarga Kim Jong-nam untuk menuntut mayat mangsa dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jika mayat tersebut tidak dituntut dalam tempoh yang diberikan, baru kerajaan akan menentukan langkah seterusnya.

"Kita tahu Jong-nam mempunyai seorang isteri dan anak. Kini mayat itu telah dikenalpasti dan kita berharap mereka akan memberi maklum balas dan tampil untuk menuntut mayat tersebut.

"Jika tiada maklum balas, kita akan mencapai keputusan secara kolektif dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan sebagai sebuah kerajaan untuk mengambil langkah seterusnya," kata beliau kepada pemberita semasa majlis pembukaan Anugerah Kajian dan Innovasi Menteri Kesihatan 2016.

"Kita berharap perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu," kata beliau apabila ditanya tempoh yang diberikan kepada ahli keluarga Jong-nam untuk menuntut mayat.

Selain itu, Subramaniam turut mengesahkan mayat Jong-nam masih berada di Hospital Kuala Lumpur.

Minggu lalu, polis mengesahkan mayat tersebut sebagai Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Mayat mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Kim Jong-nam, Subramaniam

Artikel Lain