suria

Rasuah: SPRM Tahan 12 Anggota Penguatkuasa

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi penguatkuasaan dalam satu operasi khas di sekitar Selangor pada Isnin.

Mereka yang ditahan merupakan dua pegawai polis berpangkat Inspektor (yang juga adalah ketua balai polis yang berlainan di Selangor), lima anggota polis, empat anggota Bomba serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.

Kesemua 12 suspek itu ditangkap kira-kira pukul 9.00 pagi di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan dalam operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM.

Operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan yang dijalankan selama hampir tiga bulan dan SPRM mendapati kesemua suspek menerima wang rasuah secara bulanan daripada pengusaha-pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di selangor.

Difahamkan, anggota penguatkuasa terbabit menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan mengutip wang rasuah bagi melindungi pusat-pusat terbabit yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, menggajikan pendatang tanpa izin dan juga melanggar aspek keselamatan kebakaran.

Menurut sumber, siasatan juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab oleh anggota penguatkuasa yang terlibat kerana bukan setakat mengutip wang rasuah tetapi mengalakkan perkembangan aktiviti-aktiviti tidak bermoral dalam pusat-pusat urut haram.

Siasatan awal juga mendapati terdapat antara pusat-pusat urut haram ini menyediakan perkhidmatan pelacuran secara terbuka dan pengusaha-pengusahan ini tidak takut menjalankan aktiviti mereka kerana mendapat perlindungan daripada anggota pelbagai agensi penguatkuasa.

Suspek-suspek dipercayai telah menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM10,000 bagi setiap kedai urut yang dilindungi oleh pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan ini.

SPRM juga telah merampas wang tunai RM25,000 daripada salah seorang inspektor tersebut di rumah dan pejabatnya.

Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan siasat Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM yang mana memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia antara 26 dan 53 dijangka dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk direman.

SPRM

Artikel Lain