suria

Saya Sedia Debat Dengan Tun M - Nazri

Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sedia berdebat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengatur masa dan lokasi untuk sesi debat tersebut.

"Ia akan diadakan pada 25 Mac di MRSM Kuala Kangsar pada pukul 3 petang. Ia diadakan pada hari itu kerana beliau ada acara pada tarikh yang sama, jadi ia akan jadi lebih mudah," katanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau mahu debat itu diadakan secara sihat.

"Saya akan beri penghormatan kepada beliau, saya hanya mahu berdebat kerana beliau mencabar saya untuk berdebat, mungkin kerana saya pengkritik terbesar beliau," katanya.

Ditanya seandainya Dr Mahathir tidak hadir, Nazri berkata beliau tidak peduli.

Pada Jumaat, Tun Mahathir mencabar Nazri untuk berdebat mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Nazri pada mulanya meminta Dr Mahathir untuk mencabar beliau bertanding di Parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum yang akan datang.


Artikel Lain