Kumpulan Perompak Bersenjata Dari Kalimantan Tumpas - Semasa | mStar

Kumpulan Perompak Bersenjata Dari Kalimantan Tumpas

Seorang suspek berjaya ditahan.

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (JSJ) berjaya menumpaskan sekumpulan perompak bersenjata dari wilayah Kalimantan, Indonesia yang memasuki Sarawak menerusi sempadan untuk merompak penduduk setempat.

Salah seorang suspek ditahan manakala dua yang lain melarikan diri dan seorang lagi masih diburu.

Lelaki itu ditahan selepas adegan kejar mengejar dan pergelutan dengan polis di sungai yang memisahkan Kalimantan dan Sarawak di sebuah ladang kelapa sawit dekat Lundu kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad.

Ketua JSJ Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata kumpulan penjenayah dari Indonesia itu melakukan rompakan bersenjata kira-kira pukul 3 pagi sebelum ditahan.

"Kira-kira pukul 3 pagi Ahad, empat perompak bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah di Batu Kawa dan merompak pasangan ketika sedang tidur.

"Perompak menggeledah rumah, mencuri barang berharga dan melarikan kereta pasangan itu.

"Kira-kira pukul 4.30 pagi, anggota pasukan petugas JSJ yang melakukan rondaan di kawasan sempadan dekat Lundu melihat sebuah kereta memecut laju ke kawasan ladang menuju sempadan Indonesia.

"Anggota petugas JSJ mengejar kereta itu dan berjaya memintasnya kira-kira 1km dari kawasan sempadan.

"Tiga suspek dilihat melarikan diri dari kereta itu. Dua melarikan diri ke dalam hutan tetapi kami berjaya menahan seorang daripada mereka selepas bergelut di dalam sungai," katanya.

Lelaki yang ditahan itu merupakan warga Indonesia berusia 29 tahun dari Entikong di Kalimantan.

Nasib perompak keempat masih belum diketahui.


Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel