suria

RIBF: Lelaki Buat Kecoh Di Pavilion Malaysia Ditahan

RIYADH:Seorang lelaki Arab yang menimbulkan kekecohan ketika persembahan zapin dan ghazal di Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 pada Khamis, telah ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Penyelaras Pavilion Malaysia Mohd Khair Ngadiron berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh pegawai Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi.

"Lelaki itu ditahan semalam (Jumaat) dan kini disiasat sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Bagaimanapun, Mohd Khair berkata pegawai kementerian berkenaan tidak memberi maklumat lanjut seperti lokasi penahanan itu.

Mohd Khair, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), berkata pihak penganjur RIBF akan menghantar surat permohonan maaf rasmi kepada Kedutaan Malaysia di sini.

"Mereka menyokong penuh penyertaan Malaysia dalam pesta buku ini dan mahukan persembahan zapin dan ghazal diteruskan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 malam waktu tempatan itu, seorang lelaki bertindak menceroboh Pavilion Malaysia lalu merampas mikrofon dan alat muzik sebelum mencampaknya ke lantai ketika persembahan 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor.

Tindakannya dibantah pengunjung lain yang memenuhi pavilion berkenaan untuk menyaksikan persembahan kebudayaan itu.

Malaysia diundang sebagai Negara Tetamu Kehormat pada RIBF 2017 dari 8 hingga 17 Mac.

Persembahan zapin serta ghazal dibawa bagi memeriahkan Pavilion Malaysia di RIBF atas permintaan Arab Saudi yang melihat seni sebagai satu cabang ilmu yang menyokong pertumbuhan tamadun manusia.-- Bernama


RIBF, Pavilion Malaysia

Artikel Lain