suria

Seorang Mangsa Pemerdagangan Manusia Jadi Hamba Seks

IPOH: Salah seorang daripada 18 mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan polis dari sebuah ladang sawit di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu bulan lalu didakwa dijadikan sebagai hamba seks.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata maklumat itu diperoleh daripada mangsa wanita berusia 23 tahun ketika disoal siasat.

"Dia mendakwa dijadikan hamba seks oleh suspek lelaki. Dia kini sedang dipantau dan menerima rawatan di Hospital Sungai Petani, Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, 18 individu termasuk lima kanak-kanak diselamatkan oleh polis di sebuah ladang sawit berkeluasan 202 hektar pada bulan lalu.

18 individu itu termasuk lima lelaki, enam wanita, dua remaja masing-masing berusia 13 dan 17 tahun serta lima kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dan isterinya, 24, yang dipercayai menguruskan ladang itu ditahan polis.

Gan berkata suspek lelaki direman sehingga 16 Mac manakala suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Artikel Lain