suria

PRU-14: PAS Mahu Selesai Segera Isu Pembahagian Kerusi

Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: PAS berharap dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan parti pembangkang yang lain selagi mereka tidak menuntut kerusi tradisi ditandingi parti Islam itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan yang dijadualkan dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menjadi sia-sia jika terdapat pertindahan kerusi.

"PAS mempunyai kira-kira 75 kerusi tradisional dan mereka (Pakatan Harapan) boleh menuntut lebih 100 kerusi lain untuk memastikan pertandingan satu lawan satu.

"Kita juga akan bertanding di kerusi yang diambil oleh Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya kepada The Star Online pada Jumaat.

Beliau berkata pembangkang harus fokus terhadap usaha menewaskan musuh mereka iaitu Barisan Nasional (BN) dan bukan bertelagah mengenai pengagihan kerusi.

Ditanya mengenai sama ada rundingan dengan PPBM yang juga sebahagian daripada jawatankuasa teknikal bersama dengan parti Pakatan Harapan akan menjadi tidak produktif, Tuan Ibrahim berkata PAS tiada sebarang isu dengan perkara itu.

"Ia terpulang kepada PPBM untuk berbincang dengan mereka selagi ia tidak menjejaskan kerusi yang kita tandingi," katanya.

Sebelum ini, PAS dilaporkan telah menjemput PPBM untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi untuk PRU-14 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencari 'jalan tengah'.

Pakatan bagaimanapun masih belum memuktamadkan sebarang pengagihan kerusi susulan ketiadaan PPBM semasa mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama hujung bulan lalu.




PRU-14, PAS, PPBM, pengagihan kerusi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain