suria

Menyamar Pegawai Polis Tipu 'Datuk' RM1.14 Juta

Madzamri Ismail diiringi keluar oleh anggota polis di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 10 Mac 2017. - The Star

SHAH ALAM: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan menipu seorang individu bergelar 'Datuk' membabitkan kerugian RM1.14 juta, dengan menyamar sebagai penolong kanan pesuruhjaya polis antara 3 Okt 2013 dan 7 Mei 2014.

Madzamri Ismail, 47, dari Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Menurut laporan Bernama, tertuduh didakwa menipu Datuk Sarip Hamid, 70, dengan jalan samaran supaya beliau mempercayai dirinya (tertuduh) adalah penolong kanan pesuruhjaya polis bagi mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1.14 juta di TTDI Jaya di sini.

Madzamri yang ditangkap pada 16 Feb lepas, didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu berpura-pura memegang jawatan penolong kanan pesuruhjaya polis dan menawarkan kepada Sarip Projek Pelupusan Wang Milik Kerajaan Malaysia Polis Diraja Malaysia, Projek Pelupusan Jongkong Emas serta Projek Urusan Kemasukan Wang Singapura ke Malaysia, di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Madzamri yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM30,000 serta dua penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 4 April depan untuk pengurusan kes. 

Beliau turut memerintahkan Madzamri menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam setiap bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nooranisa Ngadirin mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM250,000 dengan mengambil kira jumlah kerugian dalam kes itu RM1.14 juta.

Beliau turut mencadangkan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain lelaki itu perlu melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Mohd Hakimi Ab Kadir yang mewakili Madzamri bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan atas alasan tertuduh mempunyai seorang isteri tidak bekerja serta lima anak di mana empat daripada mereka masih belajar dan anak sulung tertuduh merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Mohd Hakimi berkata sejak ditahan, anak guamnya juga memberi kerjasama penuh kepada polis selain tidak pernah cuba melarikan diri walaupun dia berpeluang untuk berbuat demikian.

Menyamar Polis, Tipu Datuk

Artikel Sebelum

Keputusan SPM 16 Mac Ini

Artikel Lain