suria

Isu Korea Utara: 5,000 Sertai Solat Hajat Di Masjid Negara

Para jemaah mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam Masjid Negara pada 10 Mac 2017 selepas menunaikan solat hajat bagi memohon kesejahteraan negara yang kini berdepan ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 jemaah pada Jumaat menyertai solat hajat yang diadakan di Masjid Negara bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Solat hajat itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang sebelum itu menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat.

Turut didoakan ialah kesejahteraan negara yang ketika ini menghadapi ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua masjid di negara ini melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Beliau turut meminta supaya didoakan semua urusan negara dipermudahkan.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Chol, atau dilaporkan media sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol diusir dari negara ini pada 6 Mac lalu selepas dilaporkan membuat kenyataan tidak berasas dan menghina Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan Jong-nam.

Sehari kemudian, Korea Utara mengumumkan tindakan mengusir Duta Besar Malaysia di negara itu, Mohamad Nizan Mohamad selain menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara berkenaan. - BERNAMA

Solat Hajat, Korea Utara, Malaysia

Artikel Lain