suria

Persatuan Nelayan Kedah Jual Ikan Kembung Murah Lebih 50 Peratus

Orang ramai bersesak membeli ikan yang dijual 50 peratus lebih murah dari harga pasaran menerusi Program Ikan Rakyat untuk Rakyat di Bazar Jenun, Bukit Jenun, Selasa.

PENDANG: Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) menjual ikan kembung dan hasil laut lain lebih 50 peratus murah daripada harga pasaran menerusi 'Program Ikan Rakyat Untuk Rakyat' di Bazar Jenun, Bukit Jenun di sini, Selasa.

Program anjuran Pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang bersama Nekad itu membabitkan jualan pelbagai jenis ikan seperti kembung tenggiri, selayang, siakap, udang harimau, udang putih dan sotong.

Anggota Lembaga Pengarah Nekad, Mohd Radzi Abdullah berkata ikan-ikan itu dibeli oleh persatuan daripada nelayan di pelantar nelayan Kuala Kedah yang baharu didaratkan awal pagi tadi.

"Kita jual lebih 50 peratus murah untuk membantu rakyat tanpa mementingkan keuntungan. Sebanyak 80 kilogram ikan kembung gred 'A' habis dijual tidak sampai dua jam daripada jumlah keseluruhan 500 kilogram jumlah hasil laut yang dijual hari ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jualan bermula 8.30 pagi hingga tengah hari itu mendapat sambutan menggalakan orang ramai yang bersesak-sesak datang membeli ikan.

"Ikan kembung di jual pada harga RM11 sekilogram berbanding RM22 sekilogram harga pasaran, ikan selayang RM10 berbanding RM12, ikan tenggiri RM30 berbanding RM35, udang besar RM55 berbanding RM65 sekilo dan sotong RM20 berbanding RM26 sekilogram," kata Mohd Radzi.

Beliau berkata sayur seperti sawi, kobis, timun, cili besar dan cili kecil turut dijual murah pada program tersebut.

"Kita akan teruskan program ini jika diarahkan Pejabat Adun pada setiap minggu sehinggalah harga ikan kembali pulih," katanya.

Pembeli menyambut baik program jualan ikan murah itu.

"Saya beli banyak kembung untuk dibuat laksa kerana sebelum ini saya tidak mampu. Saya harap jualan murah ini diteruskan sampai bila-bila," kata Maskinah Jalaluddin, 30.

Ibrahim Mat, 65, berkata program itu patut dicontohi pihak korporat dan orang perseorangan dalam membantu rakyat.

"Sebelum ini saya beli ikan tamban sahaja sebab ia murah dari ikan kembung.

Tapi hari ini saya mampu beli kembung setelah sekian lama tidak makan kembung  sebab harganya mahal," katanya.

Sementara itu Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata selain di  Bazar Jenun, program yang sama turut diadakan di Pekan Kubur Panjang, Padang Pusing dan Felda Sungai Tiang.-- Bernama

ikan kembung, Nekad, Bazar Jenun

Artikel Lain