suria

Muhammad Ali Terima Penghargaan Kerajaan Malaysia

BERSEMANGAT... Reaksi Rasheda Ali, anak Muhammad Ali semasa menyampaikan ceramah pada program Reviving The Islamic Spirit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam Sabtu. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Rasheeda Ali, anak kepada legenda peninju dunia Muhammad Ali malam Sabtu menerima sijil penghargaan khas dari kerajaan Malaysia sempena program'Reviving The Islamic Spirit' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Sijil penghargaan tersebut bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan arwah ayahnya itu, telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata, pemergian Muhammad Ali ketika sambutan bulan Ramadan tahun lalu telah meninggalkan satu legasi dan inspirasi besar kepada masyarakat di seluruh dunia.

"Saya masih ingat lagi ketika beliau bertarung dengan Joe Bugner pada 1975 di Malaysia, ketika itu semua mata terpaku melihat aksi hebat mereka.

"Tetapi kini selepas analisis dilakukan barulah orang ramai mengetahui bahawa kehebatannya ialah disebabkan prinsipnya yangberpegang teguh kepada nilai-nilai mulia termasuk kenyataannya bahawa semua kehebatannya adalah kurniaan Allah," kata Jamil Khir.

Program selama dua hari itu bermula Sabtu turut menampilkan pendakwah terkenal dari Amerika Syarikat, Imam Zaid Shakir; pensyarah Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi al-Akiti; dan Naib Presiden Persatuan Islam Amerika Utara, Imam Siraj Wahhaj.

Dalam pada itu, Jamil Khir turut merakamkan penghargaan terhadap penganjur program tersebut buat pertama kali di negara ini.

Program tersebut tidak pernah diadakan di luar Kanada dan Amerika Utara sejak 15 tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain