suria

MCA Akan Kekal Bersama BN - Liow

Liow beramah mesra dengan ahli parti pada majlis sambutan ulang tahun ke-68 MCA di Wisma MCA, pagi Ahad.

KUALA LUMPUR: MCA tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan terus berdiri teguh atas perlembagaan parti itu mengenai perkongsian kuasa dan keputusan secara konsensus, kata presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebagai salah satu daripada 13 parti komponen BN, Liow berkata MCA mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita mahu memainkan peranan utama dalam Barisan Nasional. Kita tidak akan sesekali berundur," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-68 MCA di Wisma MCA di sini pagi Ahad.

MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949.

Liow berkata BN adalah satu pakatan politik dan perlembagaannya jelas mengatakan bahawa ia berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa dan keputusan secara konsensus.

"Ini bermakna setiap parti tunggal amat diperlukan. "Kita adalah sama; oleh itu kita tidak harus menjadi kambing hitam untuk kesilapan orang lain dan janganlah kita menghukum diri kita sendiri untuk perkara itu.

"Desakan untuk keluar dari BN adalah tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dan tindakan yang tidak tepat," tegasnya.



MCA, BN

Artikel Lain