suria

Sekolah Perlu Hasil Produk Berkualiti Tentukan Kejayaan TN50 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua, kanan) mewakili Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Sultan Alam Shah menerima sumbangan sebanyak RM100 ribu daripada Datuk Razali Merican Naina Merican (kanan) untuk "Program SAS Multi-talented Achievers - From Great to Exceptional" di sekolah itu, malam Jumaat. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kehebatan sesebuah sekolah bukan hanya perlu diukur melalui keputusan akademik dan kokurikulum sahaja, malah melalui penghasilan produk bagi menyumbang kepada kejayaan negara mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekolah bukan sahaja perlu melahirkan tenaga profesional, ilmuan dan pemimpin tetapi juga modal insan dengan sahsiah dan personaliti sempurna.

"Ini penting kerana anak-anak yang akan menjadi produk membanjiri pasaran kerjaya dalam pelbagai sektor, yang akan turut menyumbang kepada kejayaan negara apabila pada 2050, Malaysia menjadi antara negara di kedudukan 20 teratas di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada program "SAS Multi-talented Achievers - From Great to Exceptional" di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), di sini malam Jumaat.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAS itu, bertujuan  mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah menampung kos tambahan melibatkan aktiviti murid bagi pembinaan dan pembentukan sahsiah serta pertandingan di peringkat kebangsaan.

Pada majlis itu, lebih RM600,000 sumbangan berjaya dikumpul antaranya daripada orang kenamaan, syarikat korporat dan ibu bapa pelajar.

Ahmad Zahid berkata beliau menaruh harapan yang besar terhadap SAS untuk menghasilkan modal insan berkualiti yang dapat menyumbang kepada kejayaan negara mencapai TN50.

"Saya amat bangga dengan SAS kerana apabila saya sampai dan menjejakkan kaki tadi, saya melihat sungguh ramai insan ternama yang dihasilkan daripada sekolah ini," katanya.

Ahmad Zahid turut memuji PIBG SAS kerana berjaya mengutip sumbangan yang begitu besar untuk sekolah dan berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang. - BERNAMA


Ahmad Zahid Hamidi, TN50

Artikel Lain