suria

Petugas Media Berkumpul Di IPD Sepang

Suasana di IPD Sepang, awal pagi Jumaat.
SEPANG: Petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selepas tahanan reman suspek dari Korea Utara Ri Jong-Chol tamat pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 40 wakil media, yang mana sebahagian daripadanya telah 'berkampung' di sini sejak malam tadi, manakala yang lain dilihat muncul seawal jam 5 pagi untuk menunggu di luar ibu pejabat polis, tempat di mana Jong-chol telah ditahan.


Suspek dari Korea Utara itu ditahan berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam.

Dia dijangka akan dibawa dari ibu pejabat polis di sini ke Jabatan Imigresen di Putrajaya bagi memulakan proses penghantaran pulang ke negaranya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini telah mengesahkan bahawa Jong-Chol, yang ditahan pada 18 Februari, akan dibebaskan daripada tahanan polis selepas tahanan reman keduanya tamat dan akan dihantar pulang.

"Dia tidak akan dikenakan pertuduhan di sini kerana tidak terdapat bukti mencukupi terhadapnya," kata Apandi kepada The Star Online ketika dihubungi, Khamis.

Beliau juga berkata Jong-Chol, yang ditahan di kondominium di Jalan Kuchai Lama, perlu dihantar pulang kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Jong-Chol, digambarkan sebagai seorang pakar dalam bidang kimia dan dikatakan bekerja di jabatan IT di Tombo Enterprise Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengeluarkan makanan tambahan anti-kanser di Cheras.

Beliau menamatkan pengajian dalam bidang sains dan perubatan dari sebuah universiti di Korea Utara pada tahun 2000. Kira-kira 10 tahun kemudian dia bekerja untuk sebuah pusat penyelidikan di Kolkata, India, sehingga 2011.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata tindakan melibatkan Jong-Chol, 47, itu dibuat selepas dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Jong-chol direman sejak 18 Februari bagi membantu siasatan kes pembunuhan  Kim Chol yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX. 

Jong-nam yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Artikel Lain