suria

Malaysia Manfaat Hubungan Dengan Arab Saudi Bangun Produk Halal - Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Jumaat. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (depan, kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (depan, kanan).

PUTRAJAYA: Malaysia akan memanfaatkan lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini secara optimum untuk membangunkan produk dan barangan halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang merupakan  rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat, turut berminat menjalin kerjasama bagi membangunkan ekosistem halal. 

"Lawatan rasmi Raja Arab Saudi baru-baru ini dapat dimanfaatkan secara optimum berdasarkan kepada strategi pembangunan ekonomi baharu yang tidak lagi hanya tertumpu kepada sektor minyak dan petroleum semata-mata," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyatan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia yang pertama bagi tahun ini di Bangunan Perdana Putra, di sini, Jumaat.

Menurutnya mesyuarat itu antara lain memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bertindak sebagai sekretariat tetap kepada Majlis Halal Malaysia bagi memastikan pembangunan, penyelarasan dan pemantauan Dasar Halal Negara dapat dilaksanakan secara holistik.

Ahmad Zahid berkata Bahagian Hab Halal Jakim yang berfungsi dalam pelaksanaan Pensijilan Halal Malaysia, akan dimantapkan dengan beberapa agensi lain menerusi Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).

Beliau berkata pencapaian piawaian Halal Malaysia di peringkat antarabangsa amat membanggakan sehingga banyak negara menagih khidmat dan kepakaran Malaysia dalam membangunkan ekosistem halal, termasuk Jepun, China, Arab Saudi dan Kemboja.

"Negara besar seperti China turut menagih khidmat nasihat dan kepakaran Halal Malaysia untuk dicanaikan dalam pemetaan halal di China sejak tahun 2014 lagi," katanya.

Tambahnya pengantarabangsaan sistem Halal Malaysia turut terbukti apabila pada November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan khidmat kepakaran Malaysia kepada Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dalam persiapan keperluan makanan halal Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Ahmad Zahid berkata selain membuka ruang kepada perluasan perniagaan, Halal Malaysia juga mampu menjadi medium perjalanan dakwah global, melalui penyaluran khidmat nasihat dan kepakaran kepada negara-negara luar.-- Bernama



Arab Saudi, halal

Artikel Lain