suria

Wanita Dalam Pengurusan Tertinggi Sektor Awam Kini Lebih 30 Peratus - KSN

PUTRAJAYA: Malaysia sudah mengatasi sasaran kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam dengan peratusan golongan berkenaan dalam kumpulan pengurusan tertinggi ialah 35.6 peratus atau 1,419 pegawai wanita, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Jumlah tersebut satu pencapaian membanggakan dalam perkhidmatan awam serta membuktikan bahawa penjawat awam wanita di Malaysia memainkan peranan yang signifikan dalam pentadbiran negara," katanya.

Berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana.

"Peratusan itu tidak termasuk polis dan tentera," kata Ali dalam kenyataan yang diedarkan pada majlis amanat Ketua Setiausaha Negara kepada pegawai wanita jawatan utama dan gred khas sektor awam di Kementerian Kewangan, di sini, Khamis.

Majlis amanat dihadiri kira-kira 300 orang itu merupakan idea Ketua Setiausaha Negara bertujuan merapatkan jalinan ukhuwah selain berkongsi idea mengenai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam amanatnya, Ali menyeru pegawai kanan wanita dalam perkhidmatan awam untuk fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rakyat, menyokong kerajaan dalam mempertingkatkan produktiviti dan mengukuhkan imej sektor awam sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan negara. 

Ini memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa 2017 merupakan 'Year of Delivery' atau tahun penyampaian, katanya. 

"Dari segi penyampaian, saya amat yakin golongan wanita dapat melaksanakan perkara ini dengan baik. Hakikatnya, golongan wanita mempunyai sifat 'empathy' yang amat tinggi berbanding lelaki.

"Ini harus digunakan dengan sebaiknya dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Mengenai TN50, Ali berkata golongan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu fokus utama dalam TN50.

"Dalam hal ini, peranan golongan wanita dalam perkhidmatan awam tentunya antara perkara yang perlu diteliti menjelang 2050. 

"Pada masa akan datang, terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi jumlah wanita dalam pengurusan tertinggi sektor awam. Perkara ini menggambarkan keadaan semasa di universiti-universiti tempatan," katanya. 

Kata beliau, kerajaan percaya pegawai-pegawai wanita dalam perkhidmatan awam akan terus mendukung aspirasi kepimpinan negara seterusnya meneruskan sumbangan yang berkesan dalam pembangunan negara. 

Justeru, katanya, langkah berterusan akan dilaksanakan untuk memperkasakan kepimpinan wanita dalam arus pembangunan negara khususnya ke arah merealisasikan TN50.

Pada majlis tersebut, Ali turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 14 pegawai wanita. 

Antara yang hadir pada majlis hari ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.-- Bernama

KSN, perkhidmatan awam

Artikel Lain