suria

Tiada Sekatan Perdagangan Ke Atas Korea Utara - Mustapa

KUALA LUMPUR: Tiada sekatan perdagangan dikenakan ke atas syarikat Malaysia yang mahu menjalankan perniagaan dengan syarikat Korea Utara atau di negara ini meskipun kejadian pembunuhan Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan kerana ia terserah sepenuhnya kepada syarikat swasta. 

"Malaysia bukan sebuah ekonomi negara dan (perdagangan dengan Korea Utara) dipacu oleh sektor swasta. 

"Saya percaya tidak banyak syarikat swasta Malaysia yang beroperasi di Korea Utara. 

"Jadi, kita serahkannya kepada mereka (syarikat Malaysia) untuk membuat penilaian mereka sendiri bagi risiko dan peluang," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Prestasi Pelaburan Malaysia 2016, di sini, Khamis. 

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara pada 2016 turun kepada RM18 juta daripada RM22 juta pada 2015. Perdagangan kebanyakannya dalam barangan komoditi.

Ditanya sama ada kes Kim Jong Nam baru-baru ini akan memberi impak kepada perdagangan dua hala Malaysia-Korea Utara pada masa depan, Mustapa berkata kesannya dijangka tidak ketara.

"Perdagangan antara Malaysia dan Korea Utara adalah kecil tidak seperti Korea Selatan yang besar. 

"Hampir tidak ada sebarang pelaburan dari Korea Utara, jadi hubungan ekonomi kita dengan Korea Utara tidak begitu penting. 

"Dari sudut pandangan itu, ia sepatutnya tidak membawa sebarang kesan menyeluruh kepada hubungan ekonomi Malaysia-Korea Utara," katanya. 

Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh oleh dua wanita yang menyimbah bahan kimia ke mukanya di balai perlepasan KLIA2 pada 13 Februari. -- Bernama



Mustapa Mohamed, Korea Utara

Artikel Lain