suria

Musa Lawat Kubu Kuat Shafie

KOTA KINABALU: Lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ke Semporna yang juga kubu kuat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menarik perhatian ramai.

Musa diiringi Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Sakaran Dandai yang juga bapa saudara Shafie.

Ketika berucap, Musa mengingatkan penduduk bandar di pantai timur negeri itu bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan.

Malahan, katanya, selaku pemimpin negeri, beliau akan sentiasa berlaku adil kepada penduduk di semua daerah di Sabah.

"Saya tidak pernah lupakan Semporna dan daerah ini tidak pernah dianaktirikan.

"Saya tidak pernah ada masalah dengan Semporna dan tidak pernah mengetepikan bandar ini daripada pembangunan," katanya ketika melakukan lawatan kerja dan menghadiri majlis pecah tanah pasar baharu di situ.

Beliau merujuk kepada dakwaan bahawa Semporna dilayan dengan buruk, bagaimanapun tidak menyebut kenyataan itu dibuat Shafie.

Selain Sakaran, turut mengiringi Musa adalah barisan menteri Kabinet negeri termasuk tiga timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Raymond Tan dan Datuk Seri Yahya Hussin.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dikatakan berhasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal daripada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Jun tahun depan bagi merebut peluang pergolakan dalam parti pembangkang.

BN juga mahu mengelak isu nasional mempengaruhi pilihan raya Sabah jika ia diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-14.

Shafie yang mempunyai pengaruh kuat di Semporna kini giat mengadakan siri jelajah Parti Warisan Sabah yang diterajuinya.

Sementera itu, Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran yang mengambil alih jawatan yang sebelum ini disandang Shafie berkata, Umno Sabah masih kekal kukuh walaupun berdepan cabaran.

"Walaupun berdepan krisis, kami masih mampu mengatasinya dan dapat mengekalkan keutuhan parti," katanya.
Musa Aman, Semporna, Shafie Apdal

Artikel Berikut

Artikel Lain