suria

Dapat Pengampunan Diraja, Lelaki Terlepas Hukuman Gantung

Shamini (kiri) bersama Sapenah.

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman gantung kerana mengedar dadah pada 2009 mendapat pengampunan diraja oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Shahrul Izani Suparman, 33, dan keluarganya dimaklumkan mengenai berita itu seminggu yang lalu di Penjara Sungai Buloh.

Ibunya, Sapenah Nawawi, 59, bersama-sama dengan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International yang berusaha merayu agar hukuman itu diringankan berkata, dia amat gembira anak lelakinya diberikan peluang kedua.

"Saya amat bersyukur kepada Tuhan. Saya mahu berterima kasih kepada Sultan Selangor kerana memberi pengampunan kepada anak saya dan juga terima kasih kepada semua yang berjuang untuk menyelamatkannya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Amnesty International Malaysia pada Isnin.

Pada 2003, Shahrul Izani yang ketika itu berusia 19 tahun ditahan polis ketika sekatan jalan raya kerana membawa  622 gram kanabis.

Pada Disember 2009, dia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amnesty International Malaysia mengambil perhatian terhadap kes Shahrul dengan membuat rayuan kepada lembaga pengampunan negeri lembaga Selangor, menggesa meringankan hukuman mati itu.

Lebih 10,000 tandatangan dari seluruh dunia dikumpul sebagai kempen rayuan berkenaan yang bermula pada 2015.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni berkata, walaupun rayuan untuk meringankan hukuman mati diterima, tetapi penggunaan hukuman mati di negara ini masih berterusan.

"Sekarang Sultan Selangor telah memperkenankan permohonan rayuan pengampunan Shahrul, kita berharap Kerajaan Persekutuan akan menggunakan bidang kuasanya dan memansuhkan hukuman mati mandatori sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan secara keseluruhan," katanya. 

Artikel Lain