suria

Wanita Guna Pukau Ditahan Di Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga China disyaki terlibat dengan kes tipu menggunakan pukau ditahan oleh orang ramai dan mengikatnya ke sebatang pokok di pasar pagi Pusat Bandar Puchong dekat sini Sabtu sebelum diserahkan kepada polis.   

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, ketika kejadian itu pada 10.30 pagi, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun terlihat wanita terbabit yang dipercayai pernah menipunya, kira-kira tujuh bulan lepas. 

Beliau berkata, mangsa kemudiannya meminta bantuan orang ramai untuk menangkap wanita terbabit, berusia 56 tahun.  

Megat Mohd Aminuddin berkata, menerusi laporan polis pada 28 Ogos tahun lepas, mangsa telah didatangi wanita berkenaan bagi meminta bantuan untuk membawa anaknya yang kononnya sakit berjumpa rakannya di kawasan berhampiran.  

"Kemudian datang seorang lagi wanita sehingga mangsa berasa bimbang akan keselamatannya.

"Namun salah seorang daripada suspek terus memegang tangan mangsa dan merayunya agar menolong mereka," kata Megat Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata, mangsa secara tiba-tiba bersetuju mengikut kedua-dua wanita berkenaan ke taman perumahan berhampiran. 

Beliau berkata, selepas menemui seorang lagi wanita, mangsa diarah menanggalkan barangan kemas dipakainya dan meletakkan di dalam sebuah beg. 

"Ketiga-tiga mereka kemudian melarikan diri bersama rantai emas berserta loket kristal, gelang tangan emas dan gelang tangan kristal milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM10,000," katanya. 

Katanya, wanita yang ditahan itu direman selama empat hari bermula Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain