suria

KLIA2 Diisytihar Selamat Selepas Pemeriksaan Bahan Kimia

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diisytiharkan sebagai zon selamat selepas polis, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.

Pemeriksaan dibuat selepas analisis Jabatan Kimia mendapati bahawa agen saraf VX telah digunakan untuk membunuh Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

"Operasi bersama yang dijalankan oleh pasukan polis forensik, AELB dan unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat ini bermula sekitar 1.45 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian," kata Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat.

"Berdasarkan pemeriksaan, tiga kesimpulan dapat dibuat iaitu tiada bahan berbahaya dikesan, KLIA2 bebas daripada sebarang bentuk pencemaran dan lapangan terbang ini diisytiharkan zon selamat," katanya kepada pemberita di lapangan terbang di sini awal pagi Ahad.

Abdul Samah berkata mereka memilih untuk menjalankan pemeriksaan itu sebagai satu langkah berjaga-jaga.


"Kami memutuskan untuk membuat pemeriksaan pada pukul 1.45 pagi kerana pada waktu ini tidak ramai orang di lapangan terbang dan kami tidak mahu tercetusnya sebarang kegemparan yang tidak perlu.

"Mereka yang merawat mangsa selepas serangan itu juga telah menjalani pemeriksaan dan berada dalam keadaan baik," katanya, sambil menambah tiada laporan lain diterima berkaitan agen saraf yang boleh membawa maut itu.

Beliau berkata, suspek warga Indonesia yang muntah di dalam teksi selepas serangan itu tidak menunjukkan sebarang gejala semasa dalam tahanan polis.

Abdul Samah berkata kakitangan di Hospital Kuala Lumpur juga telah diberi taklimat untuk lebih mengambil langkah berjaga-jaga apabila bersentuhan dengan badan mangsa.

Dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada Khamis, beliau berkata polis telah mengambil sampel dan telah menghantarnya untuk dianalisis.

"Kami tidak boleh mendedahkan tentang bahan itu tetapi ia mempunyai kaitan dengan empat suspek utama yang segera melarikan diri selepas kejadian," katanya, sambil menambah empat warga Korea Utara dipercayai telah menyewa unit tersebut.

Abdul Samah berkata polis masih menyiasat jika agen saraf tersebut dihasilkan di Malaysia atau diseludup masuk.

Mengenai kakitangan Kedutaan Korea Utara telah disiasat, beliau berkata polis telah memohon kerjasama daripada kedutaan.

"Kita telah memberikan mereka tempoh masa yang munasabah untuk tampil. Jika dia tidak hadir, kita akan beralih kepada peruntukan undang-undang lain untuk memaksa dia hadir," katanya.

Apabila ditanya sama ada suspek telah diberikan penawar kerana telah terdedah kepada agen saraf, Abdul Samah berkata, terdapat perbincangan dengan pihak hospital untuk menjalankan beberapa ujian.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Dua wanita tiba-tiba muncul di hadapannya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter perkhidmatan pelanggan di lapangan terbang dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Beliau disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dengan pasport bernama Kim Chol.

Artikel Lain