suria

Tiada Bom Dalam Kereta Ditinggal Semasa LTdL - Polis

SERI ISKANDAR: Tiada bom atau bahan kimia ditemukan didalam sebuah kereta yang ditinggalkan seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Bota Kiri di sini, kata Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata pemeriksaan oleh sebuah robot milik Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Bukit Aman hanya menemukan sebilah parang dalam kereta jenis Mercedez Benz itu.

"Semasa kejadian anggota polis bertugas yang menjaga laluan perlumbaan LeTour De Langkawi (LTdl) melihat sebuah kereta berhenti di simpang lampu isyarat sebelum ternampak seorang lelaki keluar dari kereta itu.

"Lelaki berkenaan kemudiannya menjerit terdapat bom di dalam keretanya sebelum dia melarikan diri menaiki kereta rakannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambahnya kereta tersebut yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dibahagian hadapan serta belakang telah ditunda ke Ibu Pejabat Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 7.40 malam Sabtu.

Mohamad Zainal berkata suspek berkenaan yang merupakan penduduk tempatan telah menyerah diri kepada pihak polis di lokasi insiden kira-kira satu jam selepas kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati suspek mepunyai dua rekod lampau masing-masing melibatkan kes dadah serta curi kenderaan dan telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau berkata lokasi insiden merupakan laluan LTdl peringkat keempat yang bermula di Manjung dan kejadian berkenaan terjadi kira-kira 15 minit selepas kumpulan pelumba terakhir melalui kawasan tersebut.

"Suspek dipercayai mengekori pelumba LTdl dari jarak jauh namun motif sebenar kejadian masih lagi disiasat," katanya.   

Pemeriksaan oleh robot yang dibawa ke lokasi kejadian kira-kira pada pukul 4.30 petang turut mengambil masa selama hampir dua jam dan memaksa laluan ditutup kira-kira dua jam bermula pada pukul 5 petang untuk memastikan keselamatan orang ramai. -Bernama

LTdL

Artikel Lain