suria

Jasad Wanita Maut Ditembak Dikremasi

Siak Kum Guan bersama dua anaknya Siak Song Pei (kanan) dan Siak Choy Yenn (kiri) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang isterinya Ruby Lee Poh Ai di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung pada Sabtu. Foto: Bernama

GEORGE TOWN: Jasad ahli perniagaan wanita Ruby Lee PohAi, yang maut ditembak semasa memandu di Taman Pekaka 1, Gelugor, Selasa lepas telah dikremasi di Krematorium Batu Gantung di sini pada Sabtu.

Kira-kira 100 orang termasuk suami dan kedua-dua anak mendiang menghadiri upacara itu yang bermula pukul 2 petang.

Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, yang mengenali mendiang selama lebih 10 tahun berkata, mereka benar-benar terkejut apabila mendengar berita mengenai kematiannya kerana mendiang adalah seorang yang baik.

"Kami tidak dapat menerima hakikat bahawa mendiang pergi dengan cara ini, ia amat menyedihkan dan cara mendiang mati kerana ditembak memang tidak patut,"katanya kepada pemberita semasa upacara tersebut.

"Mendiang adalah seorang wanita yang sering menghulurkan sumbangan kepada kuil Thai. Saya mengenali suaminya selama lebih lima tahun dan beliau seorang yang penyabar, jadi sukar untuk saya percaya beliau mungkin telah menyinggung seseorang hingga menyebabkan keadaan ini," katanya.

Tan berkata keluarga Ruby bingung mengapa ini berlaku kepada mendiang dan berharap polis dapat merungkai kebenaran. Ruby maut ditembak semasa memandu kereta BMW kira-kira 5.45 petang.

Mangsa dihampiri dua lelaki menunggang motosikal yang kemudian melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

Mangsa ditembak di tempat duduk pemandu dengan enam daripada 10 das tembakan mengenai dadanya. -Bernama

Artikel Lain