suria

Polis Nafi Berlaku Pergaduhan Sebabkan Seorang Maut Di Kampung Gajah

SERI ISKANDAR: Polis menafikan berlaku kejadian pergaduhan di Kampung Gajah, dekat sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki maut seperti yang tular di aplikasi 'WhatsApp', sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superitendan Aziz Hasan berkata, kejadian yang dikatakan membabitkan satu kumpulan dari Kampung Gajah dan Changkat Melintang itu tidak pernah berlaku dan mesej yang tular itu adalah palsu.

"Malah, dalam aplikasi 'WhatsApp' tersebut menyatakan seorang mangsa yang terlibat dalam pergaduhan itu turut meninggal dunia dan telah dikebumikan.

"Maklumat yang tular itu juga mengatakan pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di sekitar daerah Perak Tengah," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Pihaknya memang ada menerima kes kematian di kawasan berkenaan semalam, bagaimanapun kes berkenaan bukan disebabkan pergaduhan, katanya.

"Memang semalam ada kes kematian mengejut melibatkan seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah stesen minyak di Kampung Gajah.

"Lelaki yang berasal dari Hutan Melintang itu memasuki tandas stesen minyak berkenaan namun rebah dan disahkan meninggal dunia disyaki mengalami masalah jantung," katanya.

Aziz berkata kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada kejadian itu untuk menyebarkan maklumat yang tidak betul.

"Kita harap orang ramai tidak cepat percaya tentang maklumat yang disebarkan tanpa menyiasat dulu kesahihannya.

"Pihak yang menyebarkan maklumat itu juga dinasihatkan supaya menghentikan segera perkara itu bagi mengelak timbul pelbagai masalah lain," katanya.-- Bernama 

Kampung Gajah, Aziz Hasan

Artikel Sebelum

Artikel Lain