suria

Khalid Sangkal Dakwaan Lambat Serah Mayat Jong-nam

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menepis dakwaan Korea Utara bahawa Malaysia sengaja melengahkan proses penghantaran pulang mayat abang pemimpin negara itu, Kim Jong-nam.

Sebaliknya, tegas beliau, selagi ujian deoksiribonukleik (DNA) daripada waris tidak diperolehi bagi melengkapkan siasatan, pihak Korea Utara harus mengikuti peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara ini.

Beliau turut menekan bahawa pihak Korea Utara boleh mendapatkan nasihat daripada peguam mereka sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan polis.

"Peguam mereka boleh menasihati mereka. Kita mempunyai peraturan di Malaysia...semasa di Malaysia, semua orang perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara ini termasuk Korea Utara," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol pada Jumaat yang mendakwa Malaysia sengaja menolak permohonan mereka untuk membawa pulang mayat Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Kenyataan Kang Chol kepada pihak media itu dibuat di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 11.45 malam Jumaat.

Pada Jumaat, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata tuntutan terhadap mayat diberi keutamaan kepada waris terdekat bagi memudahkan proses pengecaman.

Bagaimanapun, setakat ini tuntutan hanya diterima daripada pihak kedutaan.

Isnin lepas, Jong-nam, 46, yang membawa dokumen menggunakan nama Kim Chol, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menunggu penerbangan ke Macau apabila seorang wanita menyembur sejenis cecair dan menggosok mukanya dengan kain.

Mangsa kemudian ke kaunter perkhidmatan klia2 untuk memohon bantuan perubatan selepas mengadu tidak sihat tetapi dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain