suria

Kim Chol Adalah Kim Jong-nam - Kedutaan

PUTRAJAYA: Kedutaan Korea Utara mengesahkan identiti lelaki Korea yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) merupakan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, Jong-nam menggunakan pasport sah Korea Utara dengan memakai nama Kim Chol.

"Kedutaan Korea Utara mengesahkan identiti (si mati). Ini yang dimaklumkan oleh pihak polis.

"Kita telah menyiasat kemungkinan sama ada pasport yang digunakan adalah palsu.

"Saya merasakan dia (Jong-nam) membawa dua identiti (pasport) berbeza. Ia merupakan pasport tulen," kata beliau pada sideng media di sini.

Selain itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa keselamatan KLIA2 berada pada tahap tertinggi.

"Lapangan terbang negara kita dilengkapi kamera berdefinisi tinggi.

"Kes yang berlaku sangat terpencil," katanya.

Jong-nam, 45, dibunuh oleh dua wanita yang menyemburkan racun di kawasan balai pelepasan kira-kira pukul 9 pagi pada Isnin.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke Macau.

Kedua-dua suspek wanita tersebut yang dipercayai perisik Korea Utara telah ditahan masing-masing pada Rabu dan Khamis.

Suspek pertama berusia 29 tahun memiliki pasport Vietnam dan menggunakan nama Doan Thi Huong dan ditahan ketika cuba menaiki penerbangan keluar dari negara ini.

Seorang lagi suspek berusia 25 tahun, menggunakan nama Siti Aishah, memegang pasport Indonesia, ditahan kira-kira pukul 2 pagi Khamis.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis.

Polis turut memburu empat lelaki yang dipercayai menemani dua wanita berkenaan di lapangan terbang ketika Jong-nam dibunuh.

Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti lelaki Korea Utara itu menerusi DNA lelaki itu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa hospital dan polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana ia merupakan soal pengurusan.

Beliau berkata kerajaan akan memberi kerjasama terhadap sebarang permintaan daripada pihak Korea Utara untuk menuntut mayat, mengikut prosedur operasi standard.

Mayat akan diserahkan kepada waris atau kedutaan selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai, katanya.

"Setakat ini, (tiada) sebarang permohonan rasmi (daripada waris) tetapi mereka (keluarga) mungkin menyalurkan permohonan mereka kepada pihak kedutaan Korea Utara," katanya.

Kim Jong-nam, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Ibu Bunuh Bayi Sendiri Didakwa

Artikel Berikut

Artikel Lain