suria

Ternak Cengkerik Hasil Pendapatan Lumayan

PENDANG: Seorang bekas pengusaha kantin sekolah meraih pendapatan lumayan hasil daripada jualan cengkerik yang digunakan sebagai umpan untuk memancing.

Yusof Hassan, 54, sanggup beralih arah menjadi penternak cengkerik sepenuh masa sejak lebih dua tahun lepas kerana melihat potensi besar dalam bidang itu dan tambahan pula beliau tinggal dalam komuniti petani yang terkenal dengan aktiviti memancing.

Beliau berkata ternakan cengkerik juga tidak memerlukan ruang khas yang luas dan beliau membela serangga itu di bahagian bawah rumah kayu dua tingkat mereka di kampung Pondok Chegar, di sini.

"Saya hanya duduk rumah dan tunggu pelanggan datang membeli cengkerik peliharaan saya," katanya yang meraih pendapatan hingga RM3,000 sebulan.

Katanya, idea untuk mengusahakan projek ternakan cengkerik itu tercetus selepas kembali daripada lawatan ke tapak projek ternakan ikan kelisa dan tilapia milik seorang rakannya di Perak.

"Ketika di sana saya melihat rakan saya ini memelihara cengkerik untuk diberi makan kepada ikan kelisa dan daripada situ timbul minat untuk saya menternak cengkerik.

Saya meminta untuk mempelajari cara ternak cengkerik dan dia bersetuju mengajar saya melalui kursus yang diadakan selama seminggu di sana," katanya.

Menurut Yusof penternakan cengkerik hanya memerlukan modal permulaan sebanyak RM8,000 untuk pembelian 10 bekas peliharaan (tong ikan) bersama lima kilogram induk (ibu cengkerik matang) dan juga 10 bekas telur cengkerik untuk diternak.

Selain itu, turut digunakan ialah sarang telur ayam untuk dijadikan tempat berlindung (tempat hinggap), dedak (makanan ayam) dan plastik. 

Katanya, setiap hari ramai pelanggan datang membeli cengkerik peliharaannya sehingga hasil jualan boleh mencecah antara RM200 hingga RM300 sehari terutama pada musim cuti sekolah dan cuti perayaan.

Yusof berkata cengkerik hanya mengambil masa kira-kira sebulan sebelum matang dan boleh dijual 30 ekor pada harga RM1.

"Penjagaannya juga mudah kerana ianya perlu diberi makan dedak dan air secukupnya selain dipelihara di kawasan gelap dan suhu yang rendah.

Selain itu yang perlu diberi perhatian ialah kawalan terhadap semut, cicak dan labah-labah yang gemar makan cengkerik, ini saya atasi dengan racun serangga," katanya.

Selain itu katanya, untuk memastikan bekalan cengkeriknya mencukupi setiap hari, Yusof terpaksa menambah stok daripada pembekal antara 15 hingga 20 kilogram agar pelanggan yang datang tidak pulang dengan tangan kosong.

Dalam pada itu katanya, beliau bercadang mengembangkan projek ternakan cengkeriknya itu dan berharap ada pihak sudi membantu menyediakan peruntukan kira-kira RM20,000. -- Bernama





cengkerik, Pendang

Artikel Berikut

Komunikasi Alat Penting - Najib

Artikel Lain