suria

Selepas Umno, PKR Dan Kita, Zaid Ibrahim Kini Sertai DAP

(dari kir) Kit Siang, Dr Mahathir, Zaid dan Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai di kediaman Zaid pada Selasa. Foto AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi kini adalah anggota  DAP.

Pengumuman itu dibuat di kediamannya di Tropicana Country and Golf Resort di sini, pagi Selasa.

Zaid berkata, beliau menyertai parti itu hanyalah sebagai ahli biasa.

"Saya bergiat lama dalam politik, dengan satu prinsip yang tidak pernah berubah atau berganjak. Pemimpin mestilah ikhlas dan bertanggungjawab kepada rakyat yang mereka pimpin.

"Pemimpin mesti mewujudkan sistem pentadbiran di mana mereka mampu berlaku adil kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan. Saya percaya DAP mampu membantu saya mencapai matlamat ini," katanya.

Majlis pengumuman itu turut disaksikan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lokasi sidang media yang sepatutnya berlangsung di Kelab Diraja Selangor terpaksa diubah ke kediaman Zaid selepas kelab berkenaan mengubah pendirian tidak membenarkan sidang akhbar itu berlangsung di situ tanpa sebab yang diketahui.

Zaid berkata, beliau tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan dalam DAP dan hanya ingin menyumbang kepada usaha untuk membangunkan semula negara.

Ditanya adakah beliau akan bertahan lama dalam DAP, Zaid berkata, beliau akan bekerjasama dengan parti itu memandang terdapat banyak persamaan isu yang dibawa kedua-dua pihak. 

Mengenai penyertaannya itu akan menarik lebih ramai orang Melayu, Zaid berkata: "Saya rasa sudah ramai orang Melayu menyertai DAP. Tapi kalau saya masuk pun, harapan saya begitulah."

Zaid yang merupakan bekas ahli Umno juga pernah menjadi ahli PKR dan kemudian Parti Kita.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun beliau tidak dipilih semula sebagai calon BN pada pilihan raya 2008. Namun demikian sebaik sahaja kabinet baru Tun Abdullah Ahmad Badawi dibentuk, Zaid telah dilantik sebagai menteri di JPM selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara. 

Beliau bagaimanapun hanya bertahan selama enam bulan sahaja sebagai menteri dan meletak jawatan. Pada Jun 2009, beliau menyertai PKR.

Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, April 2010, beliau telah dipilih sebagai calon PKR tetapi tewas kepada P. Kamalanathan dari BN.

Menjelang November 2010, Zaid mengumumkan keluar dari PKR selepas percubaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu tidak menjadi. Beliau menarik diri selepas mendakwa terdapat kepincangan di dalam proses pertandingan kepimpinan parti.

Pada Disember 2010, Zaid mengambil alih kepimpinan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair atau Kita. Bagaimanapun dua tahun kemudian iaitu pada 2012, beliau mengumumkan keluar dari Kita. 

DAP adalah parti politiknya yang ke-4 selepas Umno, PKR dan Kita. 

Beliau kini disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon di kawasan Parlimen Gelang Patah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti mengantikan Lim Kit Siang yang dikatakan bakal berpindah ke Pulau Pinang.

Zaid Ibrahim, DAP, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain