suria

Lelaki Ditahan Paksa Isteri, Anak Mengemis

GAMBAR HIASAN

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berumur 36 tahun ditahan polis pada Isnin selepas isterinya membuat laporan dengan mendakwa dia dan anaknya dipukul selain dipaksa mengemis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata isterinya yang berusia 29 tahun mendakwa pada 29 Jan lalu dia telah dipukul di bahagian muka oleh suaminya di Stesen Bas Taman Ria manakala tiga anak mereka turut dikasari.

"Mangsa juga turut dipukul selepas itu di Hospital Sultan Abdul Halim kerana dikatakan gagal meminta sedekah daripada orang ramai.

"Pada 2 Februari lalu, suami mangsa membawa seorang anak mereka untuk mengemis di hadapan sebuah bank di pekan baru Sungai Petani sebelum diselamatkan sekumpulan anggota badan bukan kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama pada Isnin.

Md Zukir berkata siasatan juga mendapati bahawa suspek merupakan penganggur dan mempunyai lima orang anak bersama mangsa.

Katanya suspek dipercayai memukul mangsa apabila tidak berpuas hati hanya mendapat sejumlah kecil wang derma selain mendakwa isterinya itu curang.

"Tangkapan terhadap suspek sudah dibuat pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2001," katanya.

Tahan

Artikel Lain