suria

Imigresen Keluarkan 106,594 Pas Pekerja, Lawatan Profesional Ekspatriat

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali (berdiri, dua kiri) melihat kakitangan The Malaysia Expatriate Talent Service Centre (MYXpats Centre) melakukan tugasan di kaunter pelanggan semasa mengadakan lawatan ke MYXpasts, Isnin. Turut hadir Ketua Fasilitasi Bakat Asing Talent Corp Siva Kumeren Narayanan (berdiri, tiga kiri).

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen telah mengeluarkan kira-kira 106,594 pas pekerja dan pas lawatan profesional untuk ekspatriat yang bekerja di negara ini sejak Julai 2015.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu, 67,274 melibatkan  kelulusan bagi permohonan pas pekerja, manakala 39,320 lagi pas lawatan profesional.

"Saya percaya jumlah ini akan meningkat. Sehingga kini, MyXpats Centre telah meluluskan 82 peratus permohonan pas pekerja dalam masa lima hari seperti mana termaktub menerusi piagam pelanggan.

"Jumlah itu  meningkat daripada 71 peratus pada tahun pertama ia beroperasi," katanya keika ditemui pemberita selepas melawat MYXpats Centre di sini Isnin.

MYXpats Centre ialah pusat sehenti yang memproses dan mengeluarkan semua permohonan pas pekerja dan pas berkaitan bagi ekspatriat yang bekerja di negara ini.

Jelas Mustafar, kehadiran ekspatriat turut membantu menjana pendapatan negara mencecah RM3.05 trilion sejak empat tahun lalu.

"Keuntungan itu dijana oleh 11,000 syarikat yang berdaftar dengan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) yang menggunakan kepakaran dan kemahiran golongan ini," katanya.

Beliau berkata, seramai 1.51 juta pekerja tempatan turut berpeluang bekerja di dalam syarikat bertaraf antarabangsa yang melakukan perdagangan tersebut.

"Apa yang penting, kepakaran mereka membolehkan kita belajar pemindahan teknologi yang dibawa," katanya.

Beliau berkata, walaupun kehadiran ekspatriat menjana pelbagai aspek ekonomi, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan semasa menjalankan proses penapisan.

"Keutamaan kerajaan adalah memastikan kesejahteraan negara tidak terjejas kerana terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing," katanya.

Imigresen, pas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain