suria

Tragedi Lemas: Penduduk Akhirnya Bertindak

Kolam bekas lombong bauksit berhampiran Taman Sungai Karang dibuang air sebelum ditimbus selepas meragut nyawa tiga kanak-kanak ketika tinjauan Bernama pada 5 Februari 2017.

KUANTAN: Bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di sini yang mengorbankan tiga kanak-kanak pada Sabtu lalu, dikeringkan hari ini atas inisiatif penduduk yang tidak mahu kejadian sama berulang.

Individu yang paling lega melihat 'lombong kering' itu ialah Mohd Sharif Awang Ngah, 50, bapa kepada Nureen Ain Juwita iaitu seorang daripada kanak-kanak yang lemas dalam insiden berkenaan.

"Saya lega melihat tiada lagi air di lombong yang meragut nyawa anak bongsu saya. Saya harap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua... kalau kita lihat kolamnya memang menakutkan dan dalam.

"Bahaya jika ada orang terjatuh ke dalam terutama kanak-kanak yang tidak tahu erti bahaya," katanya semasa ditemui Bernama di lombong itu di sini, Isnin.

Kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu, Nureen Ain Juwita, 10, dan dua rakannya yang merupakan pasangan adik-beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, ditemukan mati lemas di kolam itu.

Pada Isnin, Persatuan Penduduk Taman Sungai Karang Jaya mengambil inisiatif mengeringkan lombong itu dengan membuat saluran sementara bagi mengalirkan air ke longkang besar di kawasan perumahan tersebut.

Mohd Sharif yang juga seorang pengawal keselamatan berkata beliau turut membuat laporan polis petang semalam, supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti syarikat yang terlibat agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Sungai Karang Jaya, Aziyadi Abdullah, 46, berkata kerja membina longkang sementara berkenaan bermula pukul 12 tengah hari dan selesai kira-kira sejam kemudian. 

Katanya inisiatif penduduk disokong oleh UMNO Bahagian Indera Mahkota yang membantu menyediakan sebuah jengkaut, selepas penduduk mengambil keputusan mengeringkan lombong itu kerana enggan menangguhkannya lagi. 

"Lombong ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan kami. Walaupun kanak-kanak jarang bermain di sini disebabkan keadaannya yang panas dan terdedah, tapi kita tidak jangka bila mereka akan datang ke sini. 

"Setakat ini tiada syarikat atau individu yang mengaku pemilik lombong. Kami tidak mahu tunggu terlalu lama untuk mereka kambus (lombong). Saya difahamkan pihak berkuasa juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemiliknya," katanya. 

Aziyadi berkata sejak kejadian Sabtu lalu, pelbagai agensi kerajaan telah datang dan meninjau lombong itu, termasuk Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Mineral dan Geosains negeri. 

Beliau berkata keputusan membina longkang sementara itu terpaksa dilakukan sebagai penyelesaian segera walaupun dikhuatiri boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan perumahan tersebut.

Katanya berdasarkan pengalaman lalu, empat rumah bersebelahan lombong itu dinaiki air apabila longkang besar di taman berkenaan tidak dapat menampung air hujan yang banyak.

"Tapi keutamaan kita adalah untuk mengeringkan lombong ini kerana tidak mahu ia terus menjadi perangkap kepada anak-anak di sini," katanya.

Lemas, Bauksit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain