suria

Jangan Putar Belit, Jadikan Gimik Politik - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta supaya hasratnya untuk membantu golongan miskin bandar dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan tidak dipolitikkan.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan bahawa ia sekadar 'harapan' beliau untuk membantu rakyat pelbagai kaum melibatkan kumpulan pendapatan  berbeza terutama golongan miskin bandar.

Lebih dikenali sebagai Ku Nan, menerusi saranan itu, diharap rakyat antara lain memperoleh manfaat dari segi perumahan mampu milik dan kemudahan pendidikan.

"Jangan putar-belitkannya sebagai gimik politik. Kita mahu bantu semua rakyat.

"Ia bukan idea tetapi harapan saya untuk membawa perubahan kepada semua rakyat terutama yang miskin bandar, berpendapatan sederhana dan juga B40 dan M40. Kita akan kotakan apa yang kita cakap," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, petang Isnin.

Pada Isnin dilaporkan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mahu Ku Nan menjelaskan kenyataannya mengenai 'Melayu terabai di Pulau Pinang' kepada pihak polis.

Pemimpin DAP itu berkata demikian selepas menemani Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi terhadap Tengku Adnan yang didakwanya 'menjejaskan kerajaan negeri Pulau Pinang'.

Mengulas perkara itu, Ku Nan berkata, beliau akan bekerjasama memberi penjelasan berhubung kenyataannya sekiranya diminta polis untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kenyataannya bukan berbaur perkauman kerana beliau menjaga semua rakyat.

"Biar dia lapor. Kalau saya ditanya oleh pihak polis, saya akan jawablah. Jika nak siasat, bila-bila masa boleh datang siasat," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran kementeriannya di DBKL petang Selasa, Ku Nan berkata, beliau telah dihubungi pihak polis berkenaan laporan yang dibuat terhadapnya.

"Polis minta saya beri keterangan dan saya akan berikan, tiada masalah," katanya.

Beliau bagaimanapun menyelar segelintir pihak pembangkang yang menyalah tafsir kenyataannya.

"Masalahnya mereka tidak pernah baca kenyataan saya betul-betul.

"Saya katakan 'harapan' saya untuk 'ambil' Pulau Pinang, Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Tioman sebagai Wilayah Persekutuan. Tolong faham bila saya katakan 'harapan saya'.

"Bukan sahaja Melayu dipinggirkan tetapi semua bangsa dipinggirkan di Pulau Pinang. Dia pilih bangsa Melayu sahaja, kita cakap semua bangsa," dakwanya.

Ditanya sama ada beliau akan menarik balik kenyataannya, Ku Nan berkata, beliau tidak akan mempedulikan gesaan itu. 

Pada 1 Februari lalu, dalam temubual dengan stesen radio berteraskan kandungan perniagaan, BFM, Ku Nan berkata, beliau mahu memperluaskan Wilayah Persekutuan untuk memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah, Pulau Tioman, Pahang, dan sebahagian Melaka.

Ketika ini di bawah Wilayah Persekutuan ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.    

Bagaimanapun pada 2 Februari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mendakwa kenyataan Ku Nan adalah berunsur hasutan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.



Artikel Lain