suria

Suami Isteri Antara Geng Pecah Rumah

MIRI: Polis berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah yang aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak Disember tahun lepas dengan penahanan lapan suspek termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata suspek terdiri lima lelaki dan tiga wanita berumur 19 hingga 38 tahun itu menumpukan untuk melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan perumahan di Pujut.

Mereka dipercayai telah terlibat dalam enam kes pecah rumah serta mencuri pelbagai barangan bernilai lebih RM50,000 sejak Disember 2016 hingga Januari lepas, katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Katanya suspek ditahan dalam serbuan berturut-turut pada Sabtu dan Ahad lepas di sebuah rumah sewa di Jalan Nangka 7, Pujut 1A di sini.

"Dalam serbuan pertama pada 4 Feb pukul 9.50 pagi, lapan individu ditahan termasuk dua kanak-kanak berumur 12 dan 10 tahun namun kedua kanak-kanak tersebut dibebaskan," katanya.

Beliau berkata, enam suspek berkenaan termasuk sepasang suami isteri itu telah direman selama lima hari untuk siasatan.

"Serbuan kedua dilakukan semalam dan dua suspek lelaki ditahan di lokasi yang sama pada pukul 4.55 petang," katanya.

Stanley berkata polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek pada Isnin.

Beliau berkata, antara barangan curi yang dirampas polis daripada suspek ialah 25 unit telefon bimbit, empat tablet pelbagai jenama, tiga unit komputer riba, 11 unit powerbank dan 19 utas jam tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tujuh tahun jika disabitkan kesalahan, katanya.

Pecah Rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain