suria

Tengkolok: Warisan Tradisi Masih Diminati Ramai

Antara tengkolok yang dihasilkan Mohd Yatim dalam usaha memastikan kesinambungannya sebagai sebahagian pakaian tradisi Melayu.

ALOR SETAR: Sekalipun wujud kebimbangan bahawa tengkolok, pakaian penutup kepala tradisional Melayu ini mungkin lenyap ditelan zaman, namun keadaannya tidak demikian - masih ada ramai peminat di kalangan kita.

Mohd Yatim Mustaffa, 40, seorang pembuat tengkolok cukup berpengalaman di Kedah, menyifatkan tengkolok, juga dipanggil destar atau tanjak, sebagai seni orang Melayu yang dipandang tinggi oleh 'orang luar'.

Mohd Yatim berkata beliau pernah menerima tempahan bagi sebuah tengkolok daripada seorang pelanggan dari Singapura dengan harga RM2,300.

"Pelanggan ini memberikan ideanya sendiri mengenai tengkolok yang diinginkannya dan saya membuatnya mengikut citarasa beliau.

"Tentu sekali, tengkolok itu eksklusif miliknya," kata Mohd Yatim.

Beliau berkata, permintaan terhadap tengkolok boleh mencecah sehingga 500 tempahan sewaktu musim cuti sekolah.

Ini selain daripada tempahan orang kenamaan dan pegawai kerajaan, serta daripada butik pengantin di seluruh negara.

Mohd Yatim menggayakan tengkolok yang dihasilkannya. fotoBERNAMA

Pemakaian tengkolok, terutama tengkolok tradisi, seringkali dikaitkan dengan majlis-majlis diraja, dengan bentuk yang berbeza mengikut negeri, selain tengkolok untuk adat istiadat dan perkahwinan Melayu serta seni silat.

Ini dapat dilihat pada pelbagai gaya ikatan dan simpulan tengkolok yang dipakai oleh Raja-raja Melayu dari negeri masing-masing.

Manakala tengkolok yang dihasilkan mengikut kreativiti "penyolek tengkolok" adalah tengkolok dekorasi dan dipakai sebagai hiasan, kata beliau.

Khuatir tentang tengkolok semakin dipandang sepi, terutama oleh generasi muda, Mohd Yatim berusaha memastikan budaya pemakaian tengkolok tidak 'lenyap' dengan terlibat secara aktif menghasilkannya.

Penyolek tengkolok dengan pengalaman 26 tahun ini bukan hanya membuat tengkolok mengikut tradisi tetapi turut menghasilkan tengkolok diilhamkan daripada pelbagai unsur flora dan fauna, mengikut versi klasik.

"Selain membuat pelbagai jenis tengkolok tradisi negeri-negeri, saya turut menghasilkan sehingga kini hampir 100 tengkolok ciptaan sendiri, dan ia adalah eksklusif," katanya.

Antara tengkolok ciptaannya adalah 'Gagak di Rimba' yang dilhamkan daripada seekor burung di celah-celah rimbunan pohon serta 'Gading Laksamana' dan 'Gading Temasek' yang diilhamkan daripada gading gajah.

"Tengkolok tradisi pula tidak boleh diubah dari segi nama dan rupa, seperti Dendam Tak Sudah, Tanjak Temalong Budu, Tengkolok Putera Kayangan dan Tanjak Tebang Selat," kata Mohd Yatim. - BERNAMA

tengkolok, warisan tradisi

Artikel Lain