suria

Pemandu Lori Ayam, Kelindan Maut Kemalangan Di Jempol

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Pemandu lori dan kelindannya maut selepas tersepit di bahagian kepala lori dalam kemalangan di KM 36 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol dekat sini pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Jempol Noorzainy Mohd Noor berkata pemandu lori berkenaan, Tanvir Ahammed Siddique, 46, warga Bangladesh, dan kelindannya, Ismail Fadlizah, juga 46, maut di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 5.30 pagi tadi dan siasatan awal mendapati lori berkenaan yang membawa muatan ayam mentah siap diproses tiba-tiba hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam lalu terbalik di bahu jalan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian kerana tersepit di bahagian kepala lori yang remuk manakala seorang lagi kelindan Mohd Syaaban Mohd Amin, 29, cedera parah," katanya.

Hasil semakan rekod kenderaan terbabit mendapati lapan kes lampau membabitkan kesalahan memandu laju dicatatkan sejak 2013 hingga 2015.

Katanya mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. - BERNAMA

pemandu lori, kelindan, maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain