suria

Tengku Abdullah Titah Lombong Bauksit Terbiar Dikambus

Tengku Abdullah berkenan menziarahi keluarga tiga mangsa lemas di Hospital Tengku Ampuan Afzan malam Sabtu. fotoBERNAMA

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah malam Sabtu menitahkan pihak berkaitan dapat mengambus semula lokasi lombong bauksit yang terbiar di negeri ini.

Baginda bertitah langkah itu perlu dilaksanakan terutamanya di kawasan berdekatan penempatan penduduk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti tiga kanak-kanak mati lemas di kawasan lombong bauksit petang tadi berulang kembali.

"Kita harap pihak pentadbiran dapat lihat tentang lokasi-lokasi lombong yang tidak digunakan, harus dikambus untuk keselamatan khususnya di kawasan perkampungan...

"Kalau boleh letakkan papan tanda tidak dibenarkan bermain di kawasan (bekas) perlombongan bauksit ini," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas mencemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam Sabtu.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tengku Abdullah bertitah baginda sendiri akan mendapatkan laporan lengkap berhubung kejadian itu dan kawasan yang berkenaan.

Sementara itu, baginda turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka sabar serta reda dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dua beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan adiknya Mahathir Mohamad, 7, serta rakan mereka, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, mati lemas ketika bermain di kawasan tersebut. - BERNAMA

Tengku Abdullah, lombong bauksit

Artikel Lain