suria

Batu Puteh: Johor Harap Semakan Semula Berpihak Kepada Malaysia

Khaled (tengah) menyerahkan watikah pelantikan Ketua Masyarakat Sabah kepada Ibrahim Taib, 39, Pada Majlis Pecah Tanah Pasar Mufakat Sabah@Johor dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Masyarakat Sabah di Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu. Turut kelihatan Pegawai Daerah Johor Bahru Muhamad Fuad Radzuan (kiri). Foto Bernama

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor berharap semakan semula tuntutan kerajaan terhadap Pulau Batu Puteh memihak kepada Malaysia.

Menter Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor menyokong penuh keputusan kerajaan mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Saya baca akhbar, Peguam Negara mengatakan apabila Kerajaan British mengubah status dokumen kepada umum beberapa dokumen mengenai Pulau Batu Puteh, ada penemuan beberapa dokumen yang boleh mengukuhkan tuntutan Malaysia dan Johor terhadap pulau berkenaan.

“Kita menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak Peguam Negara. Kita harap kita akan berjaya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Pasar Muafakat Sabah@Johor dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Masyarakat Sabah di Sri Alam di sini, Sabtu.

Mengenai majlis itu, beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan masyarakat Sabah yang hidup di Johor terbela dan mempunyai wakil yang boleh menjadi penghubung di antara mereka dengan Kerajaan Negeri. 

“Kerajaan negeri berpendapat adalah perlu dan wajar masyarakat Sabah di sini mempunyai pemimpin masyarakatnya yang boleh berhubung dengan kerajaan negeri.

“Ini kerana kerajaan negeri mahu masyarakat Sabah yang berada di Johor dalam keadaan terjaga dan terpelihara supaya mereka dapat hidup dalam keadaan yang mereka hasratkan.

"Jadi sebab itulah kerajaan negeri telah bersetuju untuk mewujudkan jawatan ketua masyarakat dari kalangan orang Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, teradapat 20,000 masyarakat Sabah yang tinggal di Johor dan daripada jumlah itu, 13,000 menetap di kawasan Pasir Gudang.

Mengenai pembinaan Pasar Muafakat Sabah@Johor,Mohamed Khaled berkata, dalam lawatan beliau dua bulan lalu, perkara itu ada dipohon oleh wakil masyarakat Sabah bagi menampung keperluan masyarakat Sabah yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan itu.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk membina Pasar Muafakat Sabah di Johor yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Daripada jumlah itu, RM1 juta adalah peruntukan daripada Pejabat Menteri Besar, manakala bakinya oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Ia akan dibina dalam tempoh lapan bulan bermula Mac ini dan bakal menempatkan 40 unit gerai, pejabat urusan, ruang legar dan surau.

Batu Puteh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain