suria

Hubungan Tentera Malaysia-AS Tidak Terjejas - Hishammuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kiri) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot (kiri) beramah mesra bersama pesara tentera selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Program RPEL untuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kelompok B40 di Wisma Perwira pada 2 Februari 2017. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hubungan ketenteraan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak terjejas susulan perintah Presiden Donald Trump menguatkuasakan larangan kemasukan pelarian dan warganegara daripada tujuh negara Islam ke AS.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kerana hubungan Malaysia dengan semua pihak amat baik manakala geopolitik dan diplomasi ketenteraan negara ini berada pada tahap membanggakan.

"Negara kita masih bernasib baik kerana tidak tersenarai dalam senarai 'banned' (dilarang) AS walaupun ada beberapa negara yang tersenarai dihalang masuk ke AS dalam pentadbiran Trump kali ini.

"Apa jua ketidakmungkinan berlaku pada masa akan datang atau terdekat kita sentiasa bersedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran dan pemeteraian Memorandum Persefahaman Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu di Wisma Perwira ATM, di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta diminta mengulas sama ada hubungan ketenteraan Malaysia dan AS terjejas ekoran terdapat beberapa negara Islam yang pelarian dan warganegaranya tersenarai dihalang masuk ke AS.

Mengulas mengenai seorang bekas pegawai khasnya yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana tuduhan menerima suapan, Hishammuddin berkata tidak ada yang terkecuali daripada didakwa walaupun pegawainya sendiri.

"Dalam hal berkaitan rasuah atau salah guna kuasa, siasatan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak ada siapa yang terkecuali termasuk diri saya dan pegawai saya. Berhubung kait dengan pegawai berkenaan saya harap bahawa apa yang telahpun didakwa biar melalui proses yang sedia ada.

"Dalam kes ini, saya dilaporkan bahawa kes ini merupakan kes lama dan pegawai berkenaan telah bersama dengan saya sejak saya di Kementerian Dalam Negari dan Kementerian Pengangkutan lagi," katanya.

Hishammuddin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan disiasat dan berharap siasatan terperinci dibuat bagi membuktikan kebenaran.

"Cuma saya berharap siapa yang disiasat itu, dan siapa yang membuat siasatan jangan sampai mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa," katanya.

Pada Khamis, seorang bekas pegawai khas kepada seorang menteri kabinet dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM60,000 daripada seorang kontraktor tiga tahun lepas.

Zailan Jauhari, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain