suria

PKR Sambut Baik Kerjasama PAS-PPBM: Azmin

Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: PKR menyambut baik kerjasama persefahaman politik antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkembangan terbaharu itu mempamerkan ciri kematangan dan kepimpinan parti berkenaan mencari jalan persamaan demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, kerjasama politik itu mampu memperkukuh sistem dua parti dan menyediakan alternatif dinamik, kuat juga ‘viable’ bagi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Seperti yang saya sarankan dalam kenyataan media beberapa hari lalu, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk reformasi.

"Pemimpin juga harus mempunyai sikap tawadhu, kesediaan bertolak ansur dan matang dalam menilai serta membuat keputusan demi memenuhi harapan juga aspirasi rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengetuai delegasi parti masing-masing dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bersama.

Mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju membentuk Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui kedua-dua parti.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, PKR akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan PPBM untuk memperkukuh muafakat dan memperkasa gabungan parti politik progresif serta menggerakkan rakyat demi kemenangan dalam PRU14.

"Adalah menjadi tuntutan untuk kita dipimpin dengan kebijaksanaan dan pendekatan inklusif, mengenepikan sikap partisan dan perbezaan ideologi.

"Ia juga penting dalam usaha membentuk gabungan pembangkang yang utuh dan jitu untuk mengembalikan maruah rakyat dan menyelamatkan Malaysia," katanya.

Azmin Ali, PAS, PPBM, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Kepung Rumah Jamal

Artikel Lain