suria

Shoes Box Project Ceriakan Anak-Anak Mangsa Banjir

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) berkenan mendengar keluhan mangsa banjir Medah Taib, 76, semasa melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Karang, baru-baru ini.

JERANTUT:"Sumbangan anak-anak kepada anak-anak" - itulah usaha Pergerakan Pandu Puteri Pahang untuk membawakan keceriaan kepada kanak-kanak mangsa banjir di negeri ini menerusi projek yang dinamakan 'Shoes Box Project.'

Inisiatif yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu ternyata membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan apabila  menerima 'kotak ajaib' yang mengandungi barangan seperti pensil, buku mewarna, barangan penjagaan diri dan permainan.

Lebih istimewa kotak berkenaan diagihkan sendiri oleh Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Yang Dipertua Pergerakan Pandu Puteri Pahang apabila melawat pusat pemindahan banjir di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Titah Tunku Aminah kepada Bernama, kotak kasut itu disumbangkan oleh pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini kepada kanak-kanak mangsa banjir.

"Lazimnya di rumah, kita ada kotak kasut yang tidak digunakan, daripada terbiar dan dibuang begitu sahaja, kami galakkan bukan sahaja anggota Pandu Puteri tetapi juga murid dan pelajar sekolah untuk menderma dengan meletakkan barangan di dalam kotak berkenaan.

"Kami sendiri sebenarnya tidak tahu apa barangan yang ada di dalam kotak ini, kerana mereka mengisinya terus di dalam kotak kasut," titah baginda.

Menurut baginda, kotak kasut yang disumbangkan itu kemudian dikumpulkan di satu tempat khas sebelum ia diagihkan kepada kanak-kanak di pusat pemindahan apabila berlaku musibah banjir.

"Setiap tahun kami berjaya mengumpulkan 2,000 hingga 3,000 kotak dan sejak banjir melanda Pahang minggu lepas, kami berjaya mengagihkan lebih 700 kotak di pusat pemindahan banjir di beberapa daerah di negeri ini," titah baginda.

Tunku Azizah secara peribadi juga berpendapat projek berkenaan juga berjaya menyemai sikap prihatin dan suka menderma dalam kalangan pelajar serta murid sekolah.

Bagi Datin Tan Puang Leng, individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea 'Shoes Box Project' itu berkata, satu kejayaan kepada pergerakan tersebut apabila melihat wajah ceria kanak-kanak menerima kotak berkenaan.

"Kebiasaannya apabila di pusat pemindahan sumbangan akan diberikan kepada orang tua mereka dan anak-anak pula hanya melihat sumbangan yang diterima.

"Namun menerusi projek ini, anak-anak turut berpeluang mendapat sumbangan yang didermakan oleh kanak-kanak sendiri dan mereka dapat menggunakan alatan yang diterima seperti pensil warna dan buku mewarna untuk mengisi masa lapang di pusat pemindahan," kata Tan.

Beliau berkata hatinya tersentuh apabila kadangkala di dalam kotak tersebut juga mengandungi nota atau doa kiriman si pemberi mengharapkan si penerimanya dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhi daripada kesusahan.

"Saya sendiri pernah melihat ibu bapa mengalir air mata terharu apabila anak mereka menerima sumbangan ini. Ia mungkin 'kecil' bagi kita, tapi amat bermakna untuk mereka yang menerimanya," katanya yang juga anggota pergerakan itu. 

Tan berkata kotak-kotak itu juga turut diagihkan ke kawasan pedalaman dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia sekiranya tidak berlaku sebarang bencana banjir pada tahun berkenaan.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain