suria

Pasangan Tertuduh Skandal Air Sabah Fail Rayuan 20 Januari

KOTA KINABALU: Peguam bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijangka memfailkan rayuan terhadap perintah ikat jamin sebanyak RM12 juta yang dikenakan terhadap mereka pada 20 Januari depan.

Difahamkan, peguam tertuduh akan mengemukakan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bersama surat tunjuk sebab.

Pada hujung bulan lalu, peguam pasangan itu, PJ Pareira berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari bagi pihak Ag Mohd Tahir yang didakwa dengan 12 tuduhan anti pengubahan wang haram dan Fauziah yang menghadapi 19 tuduhan yang sama.

"Kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini kerana ia adalah mustahil bagi anak buah saya mendapatkan jumlah wang ikat jamin mereka," katanya.

Beliau berkata, Ag Mohd Tahir dan isterinya tidak dapat mencagarkan mana-mana harta mereka yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ag Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Rasuah, Air Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Lain